Saiz Teks: A- A A+

| Pilihan Bahasa : English | Bahasa Melayu   |

   Pemakluman Lengkap   

 

(a) Pemakluman Berkenaan Pemprosesan Pendaftaran Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) Tempatan dan   Pengeluaran Perakuan Pengamalan Sementara Warga Asing


i. Proses semakan permohonan pendaftaran pengamal PT&K tempatan dan pengeluaran Perakuan Pengamalan Sementara warga asing dilakukan secara berperingkat. Pada peringkat semakan pertama, resit pembayaran akan dikeluarkan kepada pemohon apabila dokumen yang diterima adalah lengkap. Pemohon akan dimaklumkan oleh pegawai menerusi telefon atau secara bertulis sekiranya dokumen yang dihantar tidak lengkap.


ii. Proses semakan kedua akan dilaksanakan untuk permohonan dengan dokumen lengkap sahaja. Pada peringkat ini, semakan terperinci akan dilakukan terhadap ketulenan sijil dan transkrip akademik, bukti akuan pengalaman mengamal dalam bidang amalan diiktiraf (sekiranya berkaitan) serta dokumen-dokumen lain yang telah diakui sah. [Sekiranya terdapat sebarang keraguan atau jika maklum balas tambahan diperlukan, pemohon akan dimaklumkan oleh pegawai menerusi telefon atau secara bertulis]


iii. Permohonan yang berjaya melalui kedua-dua proses semakan tersebut akan dinilai di peringkat Mesyuarat Panel Saringan Pendaftaran (PSP) terlebih dahulu sebelum dibawa untuk kelulusan di pihak Majlis PT&K.


iv. Mesyuarat PSP dan Mesyuarat Majlis PT&K akan diadakan 2 bulan sekali atau mengikut keperluan. Setelah itu, barulah surat pemakluman akan dikeluarkan untuk memaklumkan status permohonan kepada pemohon.


v. Pemohon dinasihatkan untuk bersabar sepanjang proses permohonan berlangsung. Keseluruhan proses ini mengambil masa satu hingga tiga bulan dari tarikh penerimaan permohonan lengkap. Walau bagaimanapun, proses ini mungkin mengambil masa yang lebih lama sekiranya penjelasan atau maklumat tambahan diperlukan.


(b) Pemakluman Berkenaan Pemprosesan Permohonan/ Pembaharuan Perakuan Pengamalan Pengamal Berdaftar (Pengamal tempatan sahaja)


i. Proses semakan permohonan/ pembaharuan Perakuan Pengamalan Pengamal Berdaftar juga dilakukan secara berperingkat. Pada peringkat semakan pertama, resit pembayaran akan dikeluarkan kepada pemohon apabila dokumen yang diterima adalah lengkap. Pemohon akan dimaklumkan oleh pegawai menerusi telefon atau secara bertulis sekiranya dokumen yang dihantar tidak lengkap.


ii. Proses semakan kedua akan dilaksanakan untuk permohonan dengan dokumen lengkap sahaja. Pada peringkat ini, semakan terperinci akan dilakukan. [Sekiranya terdapat sebarang keraguan atau jika maklum balas tambahan diperlukan, pemohon akan dimaklumkan oleh pegawai menerusi telefon atau secara bertulis]


iii. Bagi permohonan yang berjaya melalui kedua-dua proses semakan tersebut, surat pemakluman dan sijil perakuan akan dihantar kepada pemohon.


iv. Pemohon dinasihatkan untuk bersabar sepanjang proses permohonan berlangsung. Keseluruhan proses ini mengambil masa satu hingga dua bulan dari tarikh penerimaan permohonan lengkap bagi permohonan kali pertama manakala masa pemprosesan bagi permohonan pembaharuan perakuan adalah satu bulan dari tarikh penerimaan permohonan lengkap. Walau bagaimanapun, proses ini mungkin mengambil masa yang lebih lama sekiranya penjelasan atau maklumat tambahan diperlukan.


(c) Pemakluman Berkenaan Penyerahan Sijil-Sijil Perakuan Pengecualian (Untuk pemohon yang berkenaan), Perakuan Pengamal Berdaftar dan Perakuan Pengamalan Pengamal Berdaftar
[Pengamal tempatan sahaja]


i. Untuk pemohon kali pertama yang berjaya berdaftar dengan pihak Majlis PT&K, ketiga-tiga sijil perakuan tersebut akan dihantar serentak bersama-sama dengan surat pemakluman setelah proses kerja di atas iaitu proses kerja (a) dan (b) selesai.


ii. Manakala bagi pembaharuan Perakuan Pengamalan Pengamal Berdaftar, hanya sijil Perakuan Pengamalan Pengamal Berdaftar akan dihantar bersama-sama surat pemakluman setelah proses kerja (b) selesai.