Saiz Teks: A- A A+

| Pilihan Bahasa : English | Bahasa Melayu   |

HEBAHAN : PENDAFTARAN PENGAMAL PERUBATAN TRADISIONAL DAN KOMPLEMENTARI (PT&K) BAGI PEMOHON LULUSAN PROGRAM PENGAJIAN BERKEMBAR DALAM BIDANG PT&K DENGAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI LUAR NEGARA

 

Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) Bil. 4/2021 yang telah bersidang pada 22 Oktober 2021 telah memutuskan perkara-perkara seperti yang berikut:

 

  • Mana-mana institusi pengajian tinggi tempatan yang berhasrat untuk menawarkan program pengajian berkembar dalam bidang PT&K dengan institusi pengajian tinggi luar negara pada peringkat kelayakan yang diiktiraf oleh Majlis PT&K perlu mendapatkan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk program pengajian berkembar tersebut. Kelayakan yang diperolehi melalui program pengajian berkembar tanpa akreditasi yang berkenaan di mana pengambilan pelajar adalah selepas tarikh Mesyuarat ini iaitu 22 Oktober 2021 tidak akan diterima; dan

 

  • Pelajar yang mendaftar untuk program pengajian berkembar dalam bidang PT&K selepas tarikh Mesyuarat ini iaitu 22 Oktober 2021, perlu mengemukakan dokumen sokongan tambahan seperti salinan visa/ pasport dan sebagainya untuk mengesahkan tempoh pembelajaran di institusi pengajian tinggi luar negara tersebut.

 

Sehubungan itu, bagi pelajar yang mendaftar untuk mengikuti program pengajian berkembar dalam bidang PT&K dengan institusi pengajian tinggi luar negara selepas 22 Oktober 2021, setelah tamat pengajian dengan jayanya dan mengemukakan permohonan pendaftaran pengamal PT&K kepada Pendaftar Majlis PT&K, pemohon daripada kumpulan ini perlu mengemukakan semua dokumen yang diperlukan seperti yang dinyatakan dalam Garis Panduan Pendaftaran Pengamal PT&K Tempatan DAN dokumen-dokumen sokongan tambahan seperti yang berikut:

 

1. Salinan pasport yang diakui sah pada semua muka surat yang mengandungi:
 
  • maklumat biometri pemegang pasport;
  • visa atau permit pelajar dari negara yang berkenaan; dan
  • cap imigresen kemasukan dan keluar dari negara tersebut.
2. Surat pengesahan daripada institusi pengajian tinggi luar negara yang mengeluarkan kelayakan yang menyatakan bahawa pemohon merupakan graduan yang sah untuk program pengajian berkembar yang berkenaan dan telah tamat pengajian dengan jayanya; dan
3. Salinan kad pelajar yang diakui sah daripada institusi pengajian tinggi luar negara yang mengeluarkan kelayakan.

 

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara ini, sila hubungi Cawangan Majlis PT&K ditalian 03 - 2279 8100 atau e-mel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..