Saiz Teks: A- A A+

| Pilihan Bahasa : English | Bahasa Melayu   |

PEMAKLUMAN BERKENAAN ISU KEPERLUAN MENGHADIRI KURSUS PEMBANGUNAN KAPASITI

 

Kebelakangan ini, pihak Cawangan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari (CMPTK) telah menerima makluman berkenaan beberapa pengamal PT&K yang telah menghadiri Kursus Pembangungan Kapasiti (KPK) sebelum menerima surat arahan rasmi berkenaan keperluan tersebut. 

 

Pengamal tersebut mendakwa mereka telah didorong oleh pihak tertentu yang menyatakan bahawa penyertaan ke KPK dapat menjamin pendaftaran pengamal tersebut dengan pihak Majlis PT&K. Kenyataan tersebut adalah tidak sahih dan menyimpang sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan pengamal PT&K. CMPTK menasihati semua pengamal PT&K agar lebih berhati-hati dalam menerima maklumat daripada pihak ketiga. Pengamal juga dipohon untuk mendapatkan pengesahan daripada CMPTK dari semasa ke semasa berkenaan sebarang kenyataan atau tuntutan sedemikian.

 

Pada masa yang sama, pihak CMPTK ingin menegaskan bahawa kehadiran ke KPK hanya diperlukan untuk pengamal PT&K yang berumur kurang daripada 50 tahun dan tidak memiliki kelayakan diiktiraf namun mempunyai tempoh pengalaman mengamal seperti yang ditetapkan oleh pihak Majlis PT&K dalam empat (4) Bidang Amalan Diiktiraf sahaja iaitu perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India dan homeopati. Perkara tersebut juga telah jelas dinyatakan dalam Garis Panduan Pendaftaran Pengamal PT&K Tempatan (klik di sini). TIADA KATEGORI PENGAMAL PT&K LAIN YANG PERLU MENGHADIRI KPK TERSEBUT BAGI TUJUAN PENDAFTRAN DENGAN MAJLIS PT&K.

 

Pengamal yang perlu menghadiri KPK akan dimaklumkan oleh CMPTK secara bertulis melalui surat dengan tajuk: ‘PEMAKLUMAN KEPERLUAN MENGHADIRI KURSUS PEMBANGUNAN KAPASITI’ yang ditandatangani oleh Setiausaha Majlis PT&K.

 

Kehadiran pengamal PT&K ke KPK adalah sama sekali TIDAK DIPERLUKAN bagi:  

 

  1. Pengamal yang memiliki kelayakan diiktiraf (sila rujuk Jadual Ketiga dalam Peraturan-Peraturan PT&K 2021); atau
  2. Pengamal yang berusia 50 tahun ke atas dan tidak memiliki kelayakan diiktiraf namun mempunyai pengalaman mengamal seperti yang ditetapkan oleh pihak Majlis PT&K.

 

Sekian, harap maklum.