Saiz Teks: A- A A+

| Pilihan Bahasa : English | Bahasa Melayu   |

Bagaimanakah proses permohonan surat sokongan dan adakah surat sokongan untuk pengamal Perubatan Tradisional & Komplementari (PT&K) warga asing wajib dipohon?

Sila klik di sini untuk maklumat lebih lanjut tentang proses permohonan surat sokongan pengamal Perubatan Tradisional & Komplementari warga Asing.

Untuk semua pengamal PT&K warga Asing yang ingin mengamal di Malaysia, adalah dikehendaki untuk memohon surat sokongan daripada Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK) terdahulu. Surat sokongan tersebut merupakan salah satu dokumen yang diperlukan dalam permohonan pas penggajian sebelum permohonan permit kerja di Jabatan Imigresen Malaysia.

Agensi yang manakah harus dihubungi untuk sesiapa yang berminat untuk menjalankan penyelidikan di Malaysia ?

Sila hubungi Institut Kesihatan Kebangsaan Malaysia (National Institute of Health Malaysia) di www.nih.gov.my untuk keterangan lanjut mengenai menjalankan penyelidikan di Malaysia.

Bagaimana sesuatu produk perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) berdaftar dipasarkan dan digunakan dalam unit PT&K, hospital awam?

Sebarang produk PT&K berdaftar yang ingin digunakan di unit PT&K, hospital awam perlu mempunyai bukti saintifik. Penggunaan produk PT&K di hospital awam adalah tertakluk kepada kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagaimana seseorang pengamal perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) memohon untuk bekerja di unit PT&K, hospital awam?

Pengambilan pengamal PT&K untuk bekerja di unit PT&K, hospital awam adalah melalui kontrak dengan syarikat pembekal. Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK) akan mengiklankan notis tender di portal rasmi BPTK 3 bulan sebelum tamat tempoh kontrak sedia ada.

Apakah prosedur untuk pendaftaran produk tradisional?

Untuk sebarang pertanyaan mengenai pendaftaran produk tradisional, sila rujuk Pohon dipinda kepada : Agensi Regulatori Farmasi Negara (http://npra.moh.gov.my/) untuk maklumat lanjut.

Bolehkah saya mendapatkan tuntutan daripada majikan ke atas konsultasi daripada pengamal perubatan tradisional dan komplementari (PT&K)?

Tuntutan daripada majikan bagi konsultasi daripada pengamal PT&K adalah bergantung kepada polisi syarikat terbabit atau perjanjian / kontrak yang dimeterai antara majikan dan pekerja.

Adakah sijil cuti sakit yang dikeluarkan oleh seorang pengamal perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) diterimapakai oleh majikan sebagai dokumen rasmi utk cuti sakit?

Penerimaan sijil cuti sakit yang dikeluarkan oleh seorang pengamal PT&K adalah bergantung kepada polisi syarikat terbabit atau perjanjian / kontrak yang dimeterai antara majikan dan pekerja.

Saya telah berdaftar dengan e-Pengamal secara online. Perlukah saya berdaftar lagi?

e-Pengamal merupakan sistem pendaftaran secara sukarela atas talian dan bertujuan bagi pengumpulan data pengamal PT&K di Malaysia. Merujuk kepada Akta 775, semua pengamal PT&K yang ingin mengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf adalah wajib untuk berdaftar dengan Majlis PT&K yang akan ditubuhkan kelak.

Apakah kesan sekiranya saya mengamal tanpa berdaftar?

Individu yang didapati mengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf tanpa berdaftar dengan Majlis telah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan perundangan. 

Berdasarkan subseksyen 25 (2) Akta PT&K 2016;

(2) Mana-mana orang yang melanggar subsyeksen (1), melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan;

i) Berkenaan dengan kesalahan pertama, didenda tidak melebihi RM30 ribu atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya
ii) Berkenaan dengan kesalahan seterusnya, didenda tidak melebihi RM 50 ribu atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

Adakah saya masih boleh mengamal sekiranya tidak berdaftar dengan Majlis selepas proses pendaftaran bermula?

Individu yang mengamal/ menawarkan perkhidmatan PT&K dalam bidang amalan yang diiktiraf adalah WAJIB untuk berdaftar dengan Majlis PT&K serta memenuhi kriteria pendaftaran seperti yang ditetapkan oleh Majlis.

Adakah saya masih boleh mengamal sementara menunggu permulaan proses pendaftaran?

Ya. Namun begitu, pengamal PT&K perlu berdaftar dengan Majlis PT&K sebaik sahaja proses pendaftaran dibuka sekiranya anda mengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf. Kelulusan permohonan pendaftaran anda adalah tertakluk kepada keputusan Majlis PT&K

Bagaimanakah saya akan diberitahu berkenaan permulaan proses pendaftaran?

Permulaan proses pendaftaran akan diumumkan di portal rasmi Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK) (http://tcm.moh.gov.my). Oleh itu, orang awam disarankan untuk mengunjungi laman sesawang tersebut dari semasa ke semasa.

Bilakah pendaftaran pengamal PT&K bermula?

Pendaftaran pengamal PT&K dengan Majlis PT&K akan dijalankan secara berperingkat dan akan bermula pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak. Oleh itu, permohonan pendaftaran tidak akan diterima dan diproses buat masa ini.

Bagaimana untuk berdaftar dengan Majlis PT&K dan apakah kriteria untuk pendaftaran?

Pengamal PT&K boleh mengemukakan permohonan kepada Majlis PT&K mengikut prosedur yang ditetapkan apabila pendaftaran telah dibuka. Kriteria pendaftaran adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang akan ditetapkan oleh Majlis PT&K.

Bilakah Majlis PT&K akan ditubuhkan?

Majlis PT&K akan ditubuhkan selaras dengan penguatkuasaan Akta PT&K 2016. Tarikh penubuhan akan diputuskan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan selepas penguatkuasaan Akta tersebut.

Apakah bidang-bidang amalan PT&K yang akan diiktiraf di bawah Akta PT&K?

Bidang-bidang amalan yang diiktiraf akan diputuskan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan atas syor Majlis PT&K.

Siapa yang perlu berdaftar di bawah Akta PT&K?

Mana-mana pengamal PT&K (warga tempatan dan warga asing) yang berhasrat untuk mengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf di Malaysia perlu berdaftar dengan Majlis PT&K.

Apakah itu Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016 [Akta 775]?

Akta PT&K 2016 [Akta 775] adalah suatu Akta untuk mengawalselia amalan dan pengamal PT&K di Malaysia serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Akta ini bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme pengamal selain daripada memastikan perkhidmatan PT&K di Malaysia adalah selamat dan berkualiti.

Akta 775 sudah dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2016 dan satu Majlis PT&K akan ditubuhkan seperti yang termaktub di dalam Akta dan pengamal PT&K dalam bidang amalan yang diiktiraf adalah diwajibkan untuk berdaftar dengan Majlis PT&K.

Bolehkah saya menubuhkan persatuan / badan pengamal baru?

Penubuhan persatuan adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (Registry of Societies). Walaubagaimanapun, badan pengamal bagi suatu bidang amalan yang diiktiraf akan ditetapkan oleh Menteri atas syor Majlis PT&K.

Saya pernah berdaftar dengan badan pengamal yang diiktiraf tetapi saya tidak memperbaharui keahlian saya,..

Saya pernah berdaftar dengan badan pengamal yang diiktiraf tetapi saya tidak memperbaharui keahlian saya, adakah saya masih mendapat keistimewaan pengecualian latihan residensi di bawah subseksyen 63(3)?

 

JAWAPAN: Semua badan pengamal yang dilantik oleh KKM telah diminta untuk menghantar senarai nama keahlian yang lengkap (sehingga tarikh 31 Julai 2016) kepada BPTK. Senarai nama ini akan dijadikan rujukan oleh Majlis PT&K yang akan ditubuhkan nanti semasa memproses permohonan pendaftaran pengamal PT&K.

Sekiranya saya tidak sempat/ tidak pernah berdaftar dengan badan pengamal sebelum Akta dikuatkuasakan, adakah saya masih boleh mendaftar sebagai pengamal PT&K..

Sekiranya saya tidak sempat/ tidak pernah berdaftar dengan badan pengamal sebelum Akta dikuatkuasakan, adakah saya masih boleh mendaftar sebagai pengamal PT&K di Malaysia? Adakah saya boleh dipertimbangkan untuk pengecualian latihan residensi dengan mengambil kira pengalaman kerja saya?

 

JAWAPAN : Pengamal PT&K boleh berdaftar dengan Majlis PT&K sekiranya memenuhi kriteria pendaftaran yang akan ditetapkan oleh Majlis PT&K. Perkara berkaitan pengecualian latihan residensi akan diputuskan oleh Majlis PT&K kelak.

Sekiranya saya telah berdaftar dengan badan pengamal sebelum akta dikuatkuasakan, adakah saya masih perlu berdaftar dengan Majlis PT&K setelah ditubuhkan nanti?

Walaupun telah berdaftar dengan mana - mana badan pengamal yang dilantik oleh KKM sebelum penguatkuasaan Akta, pengamal PT&K masih perlu berdaftar dengan Majlis PT&K sekiranya ingin mengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf.

Selepas Akta dikuatkuasakan, adakah para pengamal PT&K masih perlu berdaftar dengan badan pengamal?

Sebelum penguatkuasaan Akta 775, KKM menggalakkan pengamal PT&K untuk berdaftar dengan badan pengamal yang dilantik oleh KKM bagi tujuan pengecualian daripada pendaftaran secara sementara seperti yang termaktub dalam subsekyen 3, seksyen 63; “Mana-mana pengamal yang berdaftar dengan badan pengamal yang sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini menjalankan atau melaksanakan fungsinya sebagai sebuah badan yang mengawal bidang amalan hendaklah memohon untuk didaftarkan di bawah Akta ini dan hendaklah dikecualikan daripada sekyen 22”.

Badan-badan pengamal yang pernah dilantik oleh KKM merupakan badan bukan kerajaan (NGO) dan mereka mempunyai hak dan kebebasan untuk terus menerima permohonan dan mendaftarkan ahli berdasarkan peruntukan perlembagaan badan pengamal masing-masing. Para pengamal juga bebas untuk memilih sama ada mahu berdaftar dengan sesebuah badan pengamal atau tidak, namun ia tidak diwajibkan selepas penguatkuasaan Akta. 

Adalah diingatkan bahawa setelah Akta 775 dikuatkuasakan, urusan pendaftaran sebagai pengamal PT&K yang berdaftar di Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Majlis PT&K yang akan ditubuhkan nanti. Para pengamal perlu berdaftar dengan Majlis sekiranya ingin mengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf.

Sekiranya saya seorang pengamal PT&K warga asing dan ingin memohon Surat Sokongan Pengamal PT&K Warga Asing daripada Bahagian Perubatan Tradisional,..

Sekiranya saya seorang pengamal PT&K warga asing dan ingin memohon Surat Sokongan Pengamal PT&K Warga Asing daripada Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK), adakah saya masih perlu mendapatkan surat sokongan daripada mana-mana badan-badan pengamal yang pernah dilantik oleh KKM sebelum ini?

 

JAWAPAN: Pada masa ini, permohonan Surat Sokongan Pengamal PT&K Warga Asing akan diteruskan seperti biasa. Walaubagaimanapun, mulai 1 Ogos 2016, syarat 3.5 dan 4.1 dalam Garispanduan Permohonan Pengamal PT&K Warga Asing (tcm.moh.gov.my/v4/pdf/guideline/foreigner/garispanduan_asing.pdf) adalah tidak terpakai sehingga diberitahu kelak. 

Bagi permohonan yang telah dikemukakan kepada Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari sebelum 1 Ogos 2016, pemohon perlu memenuhi semua syarat yang berkaitan dalam garispanduan tersebut. 

*Nota:

a) Perkara 3.5: Pengamal (pemohon) mesti berdaftar dengan salah satu badan pengamal yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia 

b) Perkara 4.1: Sebarang permohonan pembaharuan hendaklah dinyatakan tujuan dan disertakan bersama dokumen - dokumen yang membuktikan bahawa ilmu dan kemahirannya telah diajar kepada pengamal tempatan (Lampiran IV)

 

Apakah proses pendaftaran sekiranya saya ingin mengamal lebih daripada satu bidang amalan? Adakah saya perlu membuat permohonan pendaftaran secara berasingan?

Berdasarkan kepada subseksyen 23;

(1) Pengamal boleh didaftarkan dalam 1 bidang amalan atau lebih jika dia memenuhi kelayakan yang dikehendaki bagi bidang amalan itu dan telah membayar fi yang ditetapkan.

(2) Kriteria pendaftaran, kelayakan yang dikehendaki, jenis dan bidang lapangan dan tatacara pendaftaran adalah sebagaimana yang ditetapkan.

Oleh yang demikian, pengamal yang ingin mengamal lebih daripada satu bidang amalan yang diiktiraf perlu membuat pendaftaran dengan memenuhi kriteria pendaftaran seperti yang ditetapkan oleh Majlis untuk setiap bidang amalan diiktiraf yang ingin diamalkan. Tatacara pendaftaran akan dimaklumkan apabila dimuktamadkan.

Saya ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang PT&K. Bolehkah saya mengetahui sekiranya kelayakan ini diiktiraf oleh KKM?

Pendidikan dalam bidang PT&K di Malaysia boleh dibahagikan kepada program pendidikan tinggi dan program kemahiran. Kelayakan bagi bidang amalan yang diiktiraf akan ditentukan oleh Majlis PT&K. Pada masa ini, calon yang berminat disarankan untuk mengikuti program PT&K dalam negara seperti berikut:

1) Program pendidikan tinggi yang mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, atau

2) Program kemahiran mengeluarkan Persijilan Kemahiran Malaysia daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Bagi program luar negara, calon yang berminat disarankan untuk mengikuti program yang mendapat pengiktirafan daripada negara asal.

Bagaimanakah saya mendaftarkan produk herba?

Pendaftaran produk herba adalah di bawah bidang kuasa Agensi Regulatori Farmasi Negara. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi 03 - 7883 5400.

Bagaimanakah saya mendaftarkan peralatan perubatan baru yang digunakan untuk rawatan?

Pendaftaran peralatan perubatan adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Peranti Perubatan. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi 03 - 8892 2400.

Bagaimanakah saya mendaftarkan premis PT&K saya?

Bahagian ini hanya mengawalselia amalan dan pengamal PT&K, manakala premis PT&K adalah di luar bidang kawal selia Bahagian ini dan tertakluk kepada keperluan pihak berkuasa tempatan. Oleh itu, orang awam dinasihatkan untuk merujuk kepada pihak berkuasa tempatan berkenaan prosedur pembukaan premis PT&K.

A) SOALAN LAZIM BERKAITAN BIDANG AMALAN DIIKTIRAF
B) SOALAN LAZIM BERKAITAN BADAN PENGAMAL DITETAPKAN
C) PERKARA-PERKARA LAIN BERKAITAN DENGAN PENGUATKUASAAN AKTA PT&K 2016
Penafian: Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Dasar Keselamatan | Dasar Privasi | Peta Laman | Bantuan
Paparan Terbaik Menggunakan Google Chrome Dengan Resolusi 1280 x 960.

  STATISTIK PELAWAT :   girl diaper cake   KEMASKINI TERAKHIR : 6 NOVEMBER 2017